Content-Length: 140573 | pFad | http://ms.wikipedia.org/wiki/Fila_S%C3%A3o_Miguel

Fila São Miguel - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas Pergi ke kandungan

Fila São Miguel

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Fila São Miguel
Jantan gelap dengan telinga dan ekor terpotong
Nama lainAnjing lembu São Miguel
Anjing tangkap São Miguel
Anjing lembu Azores[1]
Negara asalPortugal
Anjing (Canis lupus familiaris)

Fila São Miguel,[a] anjing lembu São Miguel,[b] atau anjing lembu Azores[c] ialah satu baka anjing daripada jenis mastif yang berasal dari Pulau São Miguel di Azores, sebuah gugusan pulau yang merupakan salah satu kawasan berautonomi di Portugal. Baka ini pada asalnya digunakan sebagai anjing gembala untuk bekerja dengan lembu.

Penampilan

[sunting | sunting sumber]
Jantan dengan telinga dan ekor terpotong

Baka ini besar tetapi tidak terlalu besar; sehingga maksimum 60 cm (24 in) pada paras kelasa dan seberat 35 kg (77 lb), dengan betina yang lebih kecil sedikit. Penampilan umum ialah anjing berperkadaran normal, dada dalam, dan berotot dengan kepala lebar dan leher sederhana panjang, belakang lurus, dan tungkai panjang. Ekornya terangkat ke atas dan sedikit melengkung. Baka ini mempunyai telinga labuh, melainkan jika terpotong. Lapis bulunya brindle perang (perang pudar yang diperihalkan sebagai perang kekuning-kuningan) atau kelabu, dengan hitam; lapis bulunya pendek, licin, dan keras kepada sentuhan, dengan jumbai singkat pada ekor (jika terpotong) dan di belakang tungkai belakang.

Betina dengan ekor dan telinga semula jadi

Baka ini berasal dari Pulau São Miguel di Azores dan mempunyai hubungan dengan mastif Terceira yang telah pupus dari Pulau Terceira yang berdekatan. Kewujudannya telah didokumenkan sejak awal abad ke-19.[1]

Piawaian baka dibangunkan dan pertama kali diterbitkan pada tahun 1984. Piawaian ini telah diiktiraf di peringkat antarabangsa pada tahun 1995 apabila piawaian itu diterbitkan oleh FCI, dengan nama Inggeris Saint Miguel Cattle Dog ("anjing lembu São Miguel"). Walaupun diperihalkan (dan dahulunya digunakan) sebagai anjing lembu, baka ini sebenarnya merupakan mastif, dan oleh itu diiktiraf oleh FCI dalam "Kumpulan 2, Seksyen 2, baka Molossoid" sebagai baka nombor 340.[1]

Secara tradisional, ekornya dipotong, dan telinga pula dipotong dan dibulatkan di puncak,[1][2] walaupun amalan ini kini menyalahi undang-undang di banyak kawasan.

Kini, anjing dari São Miguel dieksport ke Amerika Utara dan ke kawasan lain di dunia yang menjadi tempat untuk pembiakbakaan dan promosi anjing ini untuk pasaran baka jarang. Kelab kenel kecil dan pejabat pendaftaran yang diselenggara oleh pembiak baka individu, mengarang versi sendiri bagi piawaian baka, yang mungkin berbeza daripada piawaian baka yang dibangunkan di Pulau São Miguel dan diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh FCI. Anjing baka ini mungkin dijual di bawah nama aslinya baka, cão de fila de São Miguel ("fila São Miguel"), atau mana-mana terjemahan dan versi nama dalam pelbagai bahasa. Baka ini dikenali sebagai Azores Cattle Dog ("anjing lembu Azores") di Amerika Syarikat dan di England.[2]

Walaupun baka ini berasal sebagai anjing pekerja bersaiz sederhana, kesesuaian sebenar bagi anjing individu untuk jenis kerja tertentu mungkin bergantung pada kualiti pelatihan awal. Baka ini dikatakan cerdas dan menjalin ikatan kuat dengan pembelanya dan pada umumnya lemah lembut, malah jinak, apabila terlatih dengan baik. Walau bagaimanapun, perangai setiap anjing mungkin berbeza-beza.[1]

Anjing lembu São Miguel dapat bersaing dalam ujian ketangkasan anjing, kepatuhan, flyball, penjejakan, dan acara penggembalaan. Naluri dan kebolehlatihan penggembalaan dapat diukur dalam ujian penggembalaan tanpa persaingan. Individu yang menunjukkan naluri penggembalaan asasi dapat dilatih untuk bertanding dalam ujian penggembalaan.[3][halaman diperlukan]

Kesihatan

[sunting | sunting sumber]

Spesimen dari Portugal tidak mempunyai masalah kesihatan yang didokumenkan, tetapi anjing yang dibiakbakakan di tempat lain kerap dibiakbakakan untuk memiliki saiz terlebih besar untuk baka ini (melebihi 60 cm (24 in) dan 35 kg (77 lb)) dan mungkin menghidap penyakit yang khusus pada anjing berdada dalam dan sangat besar, seperti kembung.[4]Templat:Unreliable source

  1. ^ Jawi: فيلا ساو ميݢيل; Portugis: cão fila de São Miguel; fila de São Miguel, sebutan dalam bahasa Portugis: [ˈkɐ̃w ˈfilɐ ðɨ ˈsɐ̃w miˈɣɛl]
  2. ^ Jawi: انجيڠ لمبو ساو ميݢيل; bahasa Inggeris: Saint Miguel cattle dog
  3. ^ Jawi: انجيڠ لمبو ازوريس; bahasa Inggeris: Azores cattle dog
  1. ^ a b c d e "FCI-Standard N° 340 CÃO FILA DE SÃO MIGUEL) (Saint Miguel Cattle Dog)" [Piawaian FCI No. 340 Fila São Miguel] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Jeans-Brown, Pamela. Disemak pada 2006 oleh Raymond Triquet secara usaha sama dengan Jennifer Mulholland. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 20 Jun 2007. Dicapai pada 19 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  2. ^ a b Hörter, Ria (2012). "Cão Fila de São Miguel aka Saint Miguel Cattle Dog or Azores Cattle Dog" [Fila São Miguel atau Anjing Lembu São Miguel atau Anjing Lembu Azores] (PDF) (dalam bahasa Inggeris).
  3. ^ Hartnagle-Taylor, Jeanne Joy; Taylor, Ty (2010). Stockdog Savvy [Selok-belok Anjing Ternakan] (dalam bahasa Inggeris). Crawford, Colorado, Amerika Syarikat: Alpine Publications. ISBN 9781577791065. OCLC 456420606.
  4. ^ Bennett Woolf, Norma (penyunting). "Dog Owner's Guide: Bloat" [Panduan Pemilik Anjing: Kembung]. CanisMajor.com (dalam bahasa Inggeris). terbitan sendiri.








ApplySandwichStrip

pFad - (p)hone/(F)rame/(a)nonymizer/(d)eclutterfier!      Saves Data!


--- a PPN by Garber Painting Akron. With Image Size Reduction included!

Fetched URL: http://ms.wikipedia.org/wiki/Fila_S%C3%A3o_Miguel

Alternative Proxies:

Alternative Proxy

pFad Proxy

pFad v3 Proxy

pFad v4 Proxy