Daerah Tatau
Tatau | |
---|---|
Negara | Malaysia |
Negeri | Sarawak |
Bahagian | Bahagian Bintulu |
Pusat pentadbiran | Tatau |
Pihak berkuasa tempatan | Lembaga Kemajuan Bintulu |
Pentadbiran | |
• Pengerusi Kawasan | Datu Haji Muhamad Yakup Kari |
• Pegawai daerah | Jabang Juntan |
Keluasan | |
• Jumlah | 4,945 km2 (1,909 batu persegi) |
Penduduk (2020) | |
• Jumlah | 31,920 |
• Kepadatan | 6.5/km2 (17/batu persegi) |
Zon waktu | UTC+8 (MST) |
Poskod | 97xxx |
Tatau merupakan sebuah daerah yang berada di wilayah Sarawak, Malaysia. Daerah ini berada di bawah pentadbiran Bahagian Bintulu. Pusat pentadbiran bagi daerah ini ialah pekan Tatau. Antara pekan lain yang terletak di daerah ini ialah Kuala Tatau, Kakus dan Sangan.
Daerah Tatau dianggarkan mempunyai keluasan sebanyak 4,945 kilometer persegi. Daerah ini juga mempunyai jumlah penduduk seramai 31,920 orang pada tahun 2020.[1] Majoriti penduduk di daerah ini merupakan masyarakat berbangsa Iban.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Tatau pada mulanya telah diletakkan di bawah pentadbiran daerah Bintulu dan dijadikan sebuah daerah kecil. Pada 2 April 1989, Tatau telah dipisahkan daripada pentadbiran daerah Bintulu setelah dinaik taraf kepada sebuah daerah penuh.[2]
Pentadbiran
[sunting | sunting sumber]Daerah Tatau terletak di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Tatau yang merupakan sebahagian daripada pentadbiran Bahagian Bintulu dan diketuai seorang pegawai daerah. Pihak berkuasa tempatan yang mentadbir daerah ini pula ialah Lembaga Kemajuan Bintulu yang ditadbir Pengerusi Kawasan.
Politik
[sunting | sunting sumber]Daerah Tatau diletakkan di bawah dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Jepak (N67) yang terletak di bawah kawasan Parlimen Bintulu (P217) dan Kakus (N60) yang terletak di bawah kawasan Parlimen Selangau (P214).
Geografi
[sunting | sunting sumber]Daerah Tatau terletak di tengah negeri Sarawak, dan di barat bahagian Bintulu. Daerah Tatau bersempadan dengan daerah Bintulu di timur laut, daerah Sebauh di timur, daerah Belaga di tenggara, daerah Kapit di selatan, daerah Song di barat daya, daerah Selangau di barat, daerah Mukah di barat laut dan Laut China Selatan di utara.
Daerah Tatau mempunyai keluasan kira-kira 4,945 kilometer persegi.[1] Bentuk muka bumi di kawasan utara dan tengah daerah ini sebahagian besarnya merupakan kawasan rendah dan rata, dengan terdapat beberapa kawasan yang agak berbukit. Di kawasan selatan daerah ini pula bentuk muka buminya merupakan kawasan tinggi dan berbukit di mana maksimum ketinggian mencapai 1,071 meter. Antara sungai utama yang mengalir di daerah ini termasuklah Batang Tatau, yang bermuara di utara daerah ini dan mengalir ke selatan daerah.
Demografi
[sunting | sunting sumber]Tahun | Pend. | ±% |
---|---|---|
1991 | 21,124 | — |
2000 | 23,241 | +10.0% |
2010 | 29,592 | +27.3% |
2020 | 31,920 | +7.9% |
Sumber: [3] |
Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di daerah Tatau ialah seramai 31,920 orang dengan kepadatan penduduk tujuh orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk jarang. Bancian ini juga merekodkan sejumlah 7,381 isi rumah dengan 8,010 tempat kediaman. Majoriti penduduk di daerah Tatau merupakan Bumiputera Sarawak, dengan majoriti antara mereka berbangsa Iban. Masyarakat Orang Ulu juga membentuk kelompok besar di daerah ini yang terdiri daripada kaum Punan, Beketan dan Tatau. Penduduk berbangsa Cina membentuk kumpulan warganegara bukan Bumiputera terbesar di daerah ini. Penduduk bukan warganegara terdiri daripada 3,465 orang.[3][5]
Status | Bangsa | Jumlah |
---|---|---|
Warganegara | Melayu | 1,399 |
Bumiputera lain | 25,555 | |
Cina | 1,327 | |
India | 13 | |
Lain-lain | 161 | |
Bukan warganegara | - | 3,465 |
Jumlah | 31,920 |
Agama
[sunting | sunting sumber]Di daerah Tatau, agama Kristian merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan lebih 77 peratus diikuti agama Islam sebanyak lebih 18 peratus. Majoriti penganut agama Kristian terdiri daripada penduduk berbangsa Iban dan Orang Ulu. Penganut agama Islam pula sebahagian besarnya terdiri daripada penduduk berbangsa Melayu, Melanau dan penduduk bukan warganegara. Penduduk beragama Buddha pula membentuk kelompok ketiga terbesar dengan peratusan lebih dua peratus. Terdapat juga penduduk yang beragama lain seperti Hindu atau tidak beragama yang membentuk kumpulan minoriti dengan peratusan satu peratus dari jumlah penduduk.[3]
Agama | Jumlah |
---|---|
Kristian | 24,764 |
Islam | 5,960 |
Buddha | 660 |
Hindu | 7 |
Lain-lain | 148 |
Tidak beragama | 84 |
Tidak diketahui | 297 |
Jumlah | 31,920 |
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b "Tatau Kawasanku | OpenDOSM". open.dosm.gov.my. Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 2024-12-20.
- ^ "Pejabat Daerah Tatau - Portal Rasmi Pentadbiran Bahagian Bintulu". bintulu.sarawak.gov.my. Dicapai pada 2024-12-20.
- ^ a b c d "MyCendash-Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". dosm.gov.my. Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 2023-12-16.
- ^ "Taburan Penduduk Mengikut Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan Mukim 2010". mycensus.gov.my. Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 2023-12-16.
- ^ "Indikator Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Pihak Berkuasa Tempatan" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-253-697-0. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2023-07-24. Dicapai pada 2023-07-24.